suria

Polis Kelantan Bina Dua Surau Di Manek Urai Lama

KUALA KRAI: Polis Kelantan membina dua buah surau di kampung Manek Urai Lama di sini, selepas beberapa surau di kampung berkenaan musnah akibat banjir besar pada Disember tahun lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata surau berkenaan dibina menggunakan dana daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta sumbangan masyarakat setempat.

Bercakap kepada pemberita pada Khamis, beliau berkata sebuah surau iaitu surau Pak Da Junuh telah siap dibina dan dilengkapi pelbagai peralatan termasuk pembesar suara, serta telah diserahkan kepada penduduk kampung.

"Sebuah lagi dijangka siap akhir bulan ini," katanya selepas merasmikan Projek Tangan Bersalaman Sumbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan bersama MCPF Bikers Kelantan di Kampung Manek Urai Lama di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman, Pengerusi MCPF Kelantan Datuk Aziz Nawi dan semua ketua-ketua polis daerah.

Pembinaan kedua-dua surau itu menelan belanja lebih RM70,000.

Sementara itu, Mazlan berkata Polis Kelantan juga sedang membina dua buah rumah untuk mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama dan Kampung Ragu di sini.

"Pembinaan tersebut sudah 80 peratus siap dan kita yakin ia dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Aidilfitri ini.

"Kita turut menyediakan 29 buah rumah sementara untuk mangsa banjir di Kampung Serasa di Dabong, dan mereka akan tinggal buat sementara waktu di rumah itu sebelum menerima rumah kekal," katanya.

Manek Urai Lama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain