suria

Rela Tahan Dua 'Polis' Cuba Samun

BESUT: Dua pemuda berumur 21 dan 17 tahun yang menyamar sebagai polis dan cuba menyamun seorang warga emas di Kampung Tok Has ditahan oleh seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan bantuan penduduk kampung berkenaan kira-kira pukul 4.30 pagi, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata sebelum kejadian itu, seorang anggota Rela berumur 30 tahun yang dalam perjalanan pulang kebetulan telah ternampak sebuah kereta jenis Honda berwarna kuning di tepi jalan Kampung Tok Has dekat dengan rumah jirannya.

Katanya, ketika anggota Rela itu menghampiri kereta berkenaan, beliau ternampak pintu rumah jirannya terbuka dengan dua lelaki yang memakai topeng muka sambil memegang sesuatu menyerupai senjata manakala seorang lagi memakai baju mempunyai lambang polis yang cuba mengugut jirannya yang dikenali Pak Long Jusoh.

"Apabila anggota Rela itu menghampiri kedua-dua lelaki berkenaan, seorang daripada suspek itu telah memperkenalkan diri sebagai polis.

Bagaimanapun, selepas diasak dengan pertanyaan anggota Rela itu, tidak lama kemudian kedua-dua pemuda berkenaan yang merasakan taktik penyamaran telah diketahui kemudiannya cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan oleh anggota Rela berkenaan dengan bantuan beberapa penduduk kampung di situ," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Khaled berkata kedua-dua suspek itu kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis Jerteh oleh penduduk kampung dan hasil pemeriksaan polis terhadap mereka telah menemui beberapa jenis barang termasuk sebilah pedang samurai, sehelai vest polis dan topeng muka berwarna hitam.

Selain itu, hasil saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua pemuda yang berasal dari dua buah kampung tempatan di Jerteh itu mendapati mereka positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Rela, Besut, Polis, Samun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain