suria

Presiden Umno Perlu Perjelas Isu Bebankan Parti - Pemuda Johor

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno Johor menggesa Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak segera menjelaskan isu berbangkit yang menjadi keluhan dan keresahan masyarakat ketika ini.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, Pemuda Umno sebagai sayap parti perjuangan orang Melayu dahagakan penjelasan bagi memastikan Umno terus relevan di mata masyarakat.

"Isu tekanan kos sara hidup akibat kegagalan pengurusan kawalan harga barang, polemik isu pengurusan 1MDB, isu GST yang umumnya bersetuju tentang kebaikannya tetapi perlaksanaan tidak tersusun, isu rumah generasi kedua Felda dan yang terbaru pembelian aset oleh Tabung Haji perlu diselesaikan segera.

"Presiden perlu bertindak segera memperjelaskan dan menyelesaikan perkara-perkara ini kepada rakyat. Jika perlu distruktur semula apa pun organisasi yang menjadi tumpuan ketika ini, jika perlu disegerakan apa pun penyiasatan atau proses audit, presiden perlu bertindak sekarang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hahasrin menambah, pihaknya tidak mahu Umno ditolak rakyat gara-gara tindakan dan keputusan pemimpin  yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"Ini melibatkan soal integriti kepimpinan, kepercayaan dan sokongan rakyat kepada Umno dan kerajaan hari ini.

"Sebagai seorang pemimpin yang telah diamanahkan oleh rakyat, amanah ini harus dipertanggungjawabkan sebaik mungkin. Tiada makna jika segala dasar baik dan nikmat pembangunan ekonomi yang selama ini Umno  juarai tidak dapat dirasai oleh rakyat sebaliknya menjadi punca liabiliti dan polemik kepada pentadbiran negara," tegasnya.

Sehubungan itu jelasnya, Pemuda Umno Johor berharap suatu penyelesaian konkrit dapat dilaksanakan segera.

Hahasrin memberitahu, pihaknya  percaya presiden tidak akan membiarkan semua ini berterusan dan mampu bertindak sebaiknya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

Pemuda Umno Johor, GST, Felda

Artikel Lain