suria

Pasangan Diraja Perak Jalani Istiadat Tabal Pusaka

Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim ketika upacara 'Adat Bersiram Tabal' di puncak Panca Persada sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, malam Khamis. - fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Balairung Seri Istana Iskandariah sekali lagi menjadi saksi detik bersejarah berlangsungnya Istiadat Tabal Pusaka malam Khamis sempena Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV di sini.

Istiadat Tabal Pusaka adalah upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin Shah.

Upacara dimulakan dengan 16 jejawat perempuan membawa lilin masuk mengambil tempat di Balairung Seri diikuti Bentara perempuan membawa masuk Perkakas Istiadat Merenjis untuk diletakkan di atas meja khas di kiri dan kanan tempat persemayaman.

Ia disusuli dengan Istiadat Membawa Masuk Perkakas Kerajaan yang diketuai cucunda Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Yang Mulia Abdul Latif Datuk Seri Mohd Salleh, yang juga anakanda saudara Sultan Nazrin Shah, diikuti sida-sida dan biduanda-biduanda.

Kemudian jejawat-jejawat yang membawa masuk Lembing dan Payung Kerajaan mengambil tempat di Balairung Seri.

Suasana hening menyelubungi Balairung Seri sebaik Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim melangkah masuk ke dalam Balairung Seri diiringi paluan nobat.

Istiadat diteruskan dengan Abdul Latiff menghadap dan mempersembahkan Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Perak yang kemudian meriba pedang itu.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim berangkat menuju ke Bilik Kesenangan selepas selesai Istiadat Bersiram Tabal di Panca Persada, Istana Iskandariah di sini, malam Khamis. - fotoBERNAMA

Raja Chik Muda Pawang Diraja Raja Rosli Raja Mohamad mengangkat sembah pohon limpah perkenan Sultan Perak untuk memulakan istiadat memulih perkakas kerajaan dan perkakas nobat diraja.

Kemudian Istiadat Merenjis Tepung Tawar dimulakan oleh Raja Rosli yang merenjis tepung tawar Sultan Perak dan Raja Permaisuri, disusuli terhadap perkakas kerajaan.

Sejurus itu sida-sida dan biduanda yang membawa perkakas kerajaan bergilir-gilir menghadap Sultan Perak dan Raja Permaisuri, diikuti Toh Setia Guna bersama Orang Kalor membawa masuk perkakas nobat menghadap pasangan diraja itu.

Upacara merenjis tepung tawar diakhiri dengan bacaan doa dan Raja Rosli menghadap serta mengambil Pedang Cura Si Manja Kini daripada Sultan Nazrin Shah.

Kemudian Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara beredar ke kawasan Panca Persada untuk memulakan Istiadat Bersiram Tabal.

Seusai istiadat itu pasangan diraja berangkat ke Bilik Kesenangan di dalam istana.

Istiadat Santapan Nasi Berastakona di Balairung Seri mengakhiri Istiadat Tabal Pusaka.

Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak kemudian berangkat ke dewan santapan untuk menghadiri majlis santapan malam.
tabal pusaka, Sultan Nazrin Shah

Artikel Berikut

Artikel Lain