suria

Suhaimi Sabudin Ikrar Terus Berkhidmat Kepada Masyarakat

Suhaimi Sabudin

PERMATANG PAUH: Calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin berikrar untuk terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Beliau menerima keputusan itu dengan berlapang dada dan melihatnya sebagai keputusan keseluruhan seluruh pengundi di kawasan parlimen itu.

"Medan PRK ini adalah pengalaman berharga dalam karier politik saya. Saya amat berterima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah menyokong saya," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,841 undi apabila memperoleh 30,316 undi untuk mengalahkan Suhaimi, yang mendapat 21,475 undi.

Dua lagi calon iaitu Salleh Isahak (Bebas) mendapat 367 undi dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia memperoleh 101 undi. Undi rosak ialah 843 undi.Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata PRK kali ini menyaksikan kerjasama yang terbaik dalam kalangan parti komponen.

"Semua parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) bersatu padu dan menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh.

"Namun, ini adalah keputusan peti undi dan kita akan buat 'post-mortem' bagi mengenal pasti apa kekurangan yang boleh diperbaiki," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata keputusan PRK itu adalah mesej yang diberi pengundi untuk terus bekerja keras pada masa depan.

"Ini akan dijadikan pedoman untuk perjuangan kita. Kita ada calon yang baik, orang muda, anak tempatan, tiada masalah.

"Kita juga mempunyai jentera yang lengkap berusaha sepenuh daya dan tenaga, tetapi apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya," katanya.




Artikel Lain