suria

CCTV Di Lebuh Raya Perlu Dianalisa Setiap Hari - TKPN

KUALA LUMPUR: Kamera litar tertutup (CCTV) di semua  lebuh raya perlu dianalisa setiap hari bagi mengekang kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Noor Rashid berkata beliau telah mengarahkan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Dato Muhd Fuad Abu Zarim untuk merancang tindakan yang lebih proaktif melibatkan pemeriksaan CCTV di setiap lebuh raya.

"Polis perlu menganalisa dan membuat kajian jika didapati ada motosikal ataukereta cuba berlumba di lebuh raya supaya tindakan segera dapat diambil," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutup Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita 2015 anjuran Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) di sini.

Noor Rashid berkata demikian mengulas kemalangan pada Sabtu lepas, membabitkan tiga buah kenderaan di Km6.2 Lebuhraya Duke dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta, yang mengorbankan sepasang suami isteri dan bayi perempuan berusia tujuh bulan.  

Mangsa adalah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa. Dalam perkembangan lain, Noor Rashid berkata polis sedang mempertimbangkan sama ada untuk menjalankan siasatan atau sebaliknya, berhubung kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang menghina Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu ceramah di Permatang Pauh, baru-baru ini.

"Saya difahamkan laporan polis ada dibuat berhubung isu ini dan polis akan melihat dari segi datanya terlebih dahulu...kalau perlu, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengenai sasaran 30 peratus atau 40,000 anggota polis terdiri dalam kalangan wanita, beliau berkata PDRM menyasarkan tempoh lima tahun lagi bagi mencapai sasaran tersebut.

"Pada masa ini, wanita mewakili 12.9 peratus atau 14,714 anggota polis di seluruh negara. Setakat ini, PDRM mempunyai 2,189 pegawai kanan daripada kaum hawa dan 12,525 anggota lain-lain pangkat," katanya.

cctv lebuh raya

Artikel Lain