suria

Muhyiddin Akan Rasmi Pavilion Malaysia Pada Ekspo Milano 2015

Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi

MILAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tiba di sini pada Khamis untuk lawatan kerja tiga hari ke Itali.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Rome Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata Muhyiddin dijadual merasmikan Pavilion Malaysia pada Ekspo Milano 2015 dan mengadakan pertemuan dengan 30 ketua industri Itali di sini pada Jumaat.

Malaysia ialah antara 148 negara yang menyertai ekspo dunia selama enam bulan itu, yang bermula 1 Mei lepas, dengan matlamat mempromosikan keselamatan dan teknologi makanan.

Dengan tema sendiri 'Ke Arah Ekosistem Makanan Mampan', Malaysia berhasrat menonjolkan pengembangannya daripada negara  berasaskan pertanian dan menuju negara maju menjelang 2020 serta menggalakkan pembangunan mampan di sepanjang laluan, katanya.

Malaysia juga akan mempromosikan perdagangan dan pelaburan pada ekspo itu, yang dijangka menarik kira-kira 20 juta pelawat termasuk pengunjung perdagangan.

Selain itu, Malaysia akan turut menerangkan mengenai produk kelapa sawitnya kepada dunia pada ekspo itu.

"Daripada 148 pavilion yang ada, maklum balas yang kami terima ialah Pavilion Malaysia yang paling mengagumkan kerana reka bentuknya berupa empat bijian menggunakan teknologi Malaysia iaitu kayu bersalut glu atau Glulam.

"Bijian itu menunjukkan bagaimana kita berubah daripada sebuah negara berasaskan pertanian menuju ke arah negara maju," kata Ahmad Fahmi.

Pavilion Malaysia dengan keluasan 2,047 meter persegi diuruskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)  serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Beliau berkata Muhyiddin dijangka menarik pelaburan baharu dan tambahan daripada ketua-ketua industri Itali semasa lawatan itu.

Muhyiddin juga akan melawat Pavilion Itali selain pavilion beberapa negara Eropah dan ASEAN semasa lawatan itu.

Ahmad Fahmi berkata Pavilion Malaysia dijangka menarik 1.8 juta pengunjung.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut dijadual menghadiri upacara perasmian Pavilion Malaysia itu.

Artikel Lain