suria

Masjid Jamek Kampung Baru Teruskan Tradisi Agih Bubur Lambuk Walau Kos Naik

Sekurang-kurangnya 15 periuk bubur lambuk disediakan setiap hari sepanjang Ramadan untuk diagihkan kepada orang ramai.

KUALA LUMPUR: Peningkatan harga barangan yang dikaitkan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak menghalang pihak pengurusan Masjid Jamek Kampung Baru di sini daripada meneruskan tradisi menyediakan bubur lambuk pada Ramadan ini.

Berdasarkan perkembangan harga barangan semasa, kos bagi penyediaan bubur lambuk kini meningkat lebih RM22,000.

Bagaimanapun, pihak pengurusan masjid itu menganggap ia tidak bukan masalah utama yang akan menjejaskan tradisi untuk mengagihkan juadah kegemaran ramai itu tahun ini.

Imam masjid berkenaan, Abdul Ahad Abu Bakar berkata, tajaan yang diterima daripada beberapa syarikat membantu pihak masjid untuk terus mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai pada Ramadan.

"Kos bagi satu periuk bubur lambuk dianggarkan sebanyak RM500 tahun ini berbanding tahun sebelumnya kira-kira RM450.

"Kami menyediakan lebih daripada 15 periuk bubur lambuk bermula pada hari pertama sehingga hari kesepuluh tetapi jumlah tersebut akan berkurangan menjelang penghujung Ramadan.

"Pihak masjid telah memaklumkan kepada penaja mengenai kenaikan harga kos untuk memudahkan mereka menyampaikan sumbangan secukupnya," kata Abdul Ahad.

"Setiap tahun kami menerima tajaan daripada pelbagai syarikat tempatan yang  menyumbangkan beras, gas dan minyak masak untuk melancarkan operasi penyediaan bubur lambuk.

"Barang keperluan lain pula akan dibeli menggunakan tabungan masjid yang disumbangkan orang ramai," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak pengurusan masjid itu juga memenuhi permintaan syarikat yang mahu menaja penyediaan bubur lambuk pada hari tertentu sepanjang bulan puasa.

Artikel Lain