suria

Kerajaan Pulau Pinang Digesa Percepatkan Penyelenggaraan Jalan Raya

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Kerja Raya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mencari jalan agar dapat mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya negeri yang telah rosak, kata Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pihak kementerian menerima banyak aduan daripada penduduk di Pulau Pinang berhubung kerosakan jalan raya dan mendapati kerajaan negeri lambat menjalankan kerja penyelenggaraan.

"Kami menerima banyak aduan daripada orang ramai keadaan jalan raya di Pulau Pinang tidak berapa elok dan saya turun sendiri untuk lihat keadaan di sini secara terperinci dan mendapati aduan yang dikemukakan mereka memang berasas.

"Jadi kami akan adakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk lihat dan cari jalan penyelesaian supaya mereka (kerajaan negeri) dapat mempercepatkan pelaksanaan (penyelenggaraan) dan tambah baik semua jalan-jalan negeri serta daerah di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau ditemui selepas melawat pusat daerah mengundi di Kampung Pertama, di sini bersempena pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Fadillah berkata kerajaan pusat menyerahkan peruntukan RM27.37 juta untuk penyelenggaraan jalan raya di Pulau Pinang sehingga 31 Mac lepas, namun kerajaan negeri hanya menggunakan RM12.819 juta sahaja.

"Sepatutnya mereka (kerajaan negeri) kena belanjakan tetapi setakat ini kami lihat mereka hanya belanjakan RM12.819 juta sahaja dan saya juga tidak pasti atau mengapa peruntukan berkenaan tidak dibelanjakan untuk penyelenggaraan jalan.

"Audit Negara turut menegur kerajaan negeri Pulau Pinang kerana hanya menggunakan RM52.69 juta sahaja peruntukan yang disediakan untuk penyelenggaraan jalan berbanding RM63.747 juta yang diserahkan oleh kerajaan pusat kepada mereka tahun lepas," katanya.

Fadillah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata berdasarkan pertemuan dengan penduduk di Permatang Pauh sepanjang tempoh berkempen pada PRK Parlimen itu mendapati mereka memberi maklum balasyang baik terhadap Barisan Nasional (BN).

"Saya nampak begitu baik sekali, dulu saya juga pernah hadir berkempen PRK Permatang Pauh pada 2008 dan suasana pada kali ini jauh berbeza dan lebih baik, kalau dulu ada tempat yang kami  tidak boleh masuk tetapi kali ini mereka (penduduk) buka pintu benarkan kami masuk.

 "Insya-Allah rakyat Permatang Pauh sudah sedar dan mula menerima BN, saya percaya kita (BN) mampu melakar sejarah pada PRK Permatang Pauh kali ini,"kata Fadilah.

PRK Parlimen Permatang Pauh, Khamis ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan setelah disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Artikel Lain