suria

Jangan Terpedaya Pihak Minta Jari Ditanda Dakwat Sebelum Pergi Mengundi - SPR

BUTTERWORTH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi-pengundi terutamanya warga emas di Parlimen Permatang Pauh supaya tidak terpedaya dengan permintaan sesetengah pihak yang meminta jari mereka ditanda dengan dakwat sebelum pergi mengundi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini kerana, pengundi yang masuk untuk mengundi akan diperiksa jari mereka supaya bebas daripada sebarang kesan dakwat.

"Pengundi perlu mencelup jari ke dalam botol dakwat yang disediakan SPR.Jika ada pengundi yang enggan jarinya dicelup dakwat, maka kertas undi tidak akan diberikan kepadanya," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

SPR turut menasihatkan pengundi supaya tidak memberikan kad pengenalan kepada pihak-pihak lain kerana ia mungin disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan akan menimbulkan masalah pada hari pengundian.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Khamis ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin,Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat yang membawa hukuman penjara lima tahun.

Abdul Aziz berkata seramai 71,252 orang pengundi biasa akan mengundi di 25 pusat mengundi yang akan dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang pada Khamis ini.

Pengundi-pengundi dinasihati menyemak maklumat pengundian masing-masingmelalui laman web SPR di www.spr.gov.my atau SMS dengan menaip SPR<jarak>no.kad pengenalan dan hantar kepada 15888. Pengundi juga boleh membuat semakan dengan menelefon pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang di talian 04-2617692 atau Ibu Pejabat SPR Putrajaya 03-88927000 atau barung SPR di setiap pusat mengundi pada hari mengundi.

Beliau berkata pada hari mengundi, parti politik atau calon tidak dibenarkan membuka, menubuh atau menyenggara pejabat atau barung dengan alasan untuk membantu pengundi menyemak maklumat pengundian mereka.

"Hanya barung SPR dibuka pada hari mengundi. Bagi memastikan penyemakan maklumat berjalan lancar, SPR ingin menegaskan bahawa orang lain tidak dibenar berkumpul di barung SPR kecuali pemerhati barung bagi pihak calon yang dilantik dengan sah oleh calon itu," katanya. 

Abdul Aziz berkata aktiviti merayu dan meraih undi pada hari mengundi dilarang sama sekali. Ia merupakan kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya 1954, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali, katanya.

Beliau berkata ejen-ejen calon yang bertugas pada hari mengundi juga diingatkan supaya tidak memakai pakaian yang menunjukkan lambang parti, gambar dan nama calon yang merujuk kepada parti politik tertentu.

"Pengundi juga tidak dibenar memakai pakaian yang mempunyai lambang parti, gambar dan nama calon apabila masuk ke pusat mengundi kerana pada hari mengundi tidak dibenarkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti kempen," katanya.

SPR, dakwat

Artikel Lain