suria

Norlina Alawi Enggan Meminta-Minta Menjelang Ramadan, Aidilfitri

Keluarga Besar Norlina Alawi yang mahu terus mengamalkan kesederhanaan ketika menyambut Ramadan dan Syawal.

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Norlina Alawi tetap dengan pendirian untuk tidak meminta-minta, sebaliknya mahu bersederhana dalam menyediakan persiapan 50 anak jagaannya menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Pengerusi Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB) itu berkata, pihaknya tidak akan meminta mana-mana syarikat atau pertubuhan untuk menyalurkan bantuan bagi tujuan itu yang dianggarkan mencecah lebih RM30,000 itu.

"Kalau boleh saya tidak ingin bersikap meminta-minta  kerana selagi saya mempunyai kemampuan, saya akan biaya segala kos perbelanjaan.

"Bagaimanapun, bagi yang berbesar hati ingin menyumbang untuk anak jagaan KBNAB kami sedia terima, yang penting Ramadan dan Aidilfitri ini dirai secara sederhanan untuk mengelak pembaziran," katanya ketika dihubungi mStar Online, disini.

Menurut Norlina lagi, kos tinggi diperlukan untuk membiayai perbelanjaan anak-anak KBNAB terutama menjelang Ramadan kerana bilangannya mencecah 50 orang termasuk yang kurang bernasib baik berusia antara tiga hingga 34 tahun.

"Saya akui perbelanjaan yang lebih diperlukan menjelang Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain kerana disamping Ramadan, kami juga perlu menyediakan persiapan untuk Aidilfitri," katanya yang menetap di Kampung Cheras Baru dekat sini.

Dalam pada itu, Norlina berkata beliau lebih mengutamakan pelajaran anak-anak angkatnya di mana tujuh daripadanya kini  berjaya menyambung pelajaran ke peringkat universiti.



Norlina Alawi, KBNAB, Ramadan

Artikel Lain