suria

PRK Rompin: Tiada Provokasi Hari Keempat Kempen

Abdul Aziz Mahmud.

ROMPIN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin masih dalam keadaan terkawal dan boleh dianggap paling 'bersih' dengan tiada kes dilaporkan pada hari keempat kempen.

Ketua Pusat Media PRK Rompin, Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan tindakan provokasi pada Sabtu.

"Tiada perkara menarik," katanya dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada Sabtu.

Terdahulu, Abdul Aziz berkata pihaknya hanya menerima dua laporan mengenai kejadian membakar bendera parti politik di dua lokasi berbeza di Felda Selancar 2, awal pagi Jumaat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat, di mana jika bersalah, pesalah boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut mengingatkan parti politik yang bertanding pada PRK Rompin supaya menasihatkan penyokong masing-masing agar tidak melakukan perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang boleh mencetuskan ketegangan.

Katanya, polis telah menubuhkan pasukan khas bagi tujuan pencegahan jenayah sepanjang PRK Rompin.

Beliau juga turut mengingatkan parti-parti yang bertanding supaya memohon permit sebelum mengadakan program atau ceramah.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawa  satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan  Nazri Ahmad, mewakili PAS.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sejumlah 53,294 pengundi, dengan 19,561 orang di kawasan Dun Bukit Ibam, Dun Muadzam Shah (17,394) dan Dun Tioman (16,339) layak mengundi pada 5 Mei ini.

PRK Rompin

Artikel Sebelum

Artikel Lain