suria

PAS Ragui Keikhlasan DAP

Tuan Ibrahim Tuan Man

PETALING JAYA: Rentetan kemelut yang melanda pakatan pembangkang berhubung cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan, PAS kini meragui keikhlasan DAP berhubung kerjasama politik dalam pakatan itu.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendirian Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang menyatakan kesediannya untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan tanda tanya.

Jelasnya, sikap veteran DAP itu menujukkan sekutu PAS berkenaan sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja dengan syarat mereka turut menolak pelaksanaan undang-undang Islam tersebut.

“Mengapa tidak terus menaruh harapan dalam kerjasama Pakatan Rakyat yang telah dibina selama tujuh tahun dengan menguruskan perbezaan yang ada?

"Ataupun syaratnya sekarang ialah sesiapa sahaja boleh bekerjasama dengan DAP asalkan ia tidak menyokong Enakmen Kanun Jenayah Shariah Islam II Kelantan seperti Dr Mahathir?” soalnya menerusi kenyataan media pada Isnin.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menyifatkan DAP bersikap pelik apabila menawarkan kerjasama dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Cadangan Kit Siang untuk menubuhkan gabungan baharu di kalangan Ahli Parlimen BN dan PR (Pakatan Rakyat) rentetan daripada Enakmen Kanun Jenayah Shariah Islam II Kelantan ini kelihatan agak pelik.

“Ini kerana pada waktu sama, beliau juga menyerang PAS kerana kononnya Presiden PAS telah mengadakan kerjasama dengan Umno. Yang lagi pelik ialah keputusan DAP untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, tapi tidak dengan PAS,” katanya.

Baru-baru ini Kit Siang menyatakan kesediannya untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir demi ‘menyelamatkan Malaysia’.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut membangkitkan persoalan mengenai strategi politik DAP yang sudi bekerjasama dengan sesiapa sahaja hanya kerana kecewa selepas melihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menerima sokongan ahli parti itu.

"Timbul juga pertanyaan apakah kesudian Kit Siang untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir timbul daripada kehampaan melihat pencalonan Tuan Guru Haji Hadi sebagai Presiden PAS yang sangat tinggi setakat ini.

“Jelas sekali ini tidak seiring dengan keputusan DAP yang ingin meneruskan kerjasama dengan PAS tapi tidak dengan Tuan Guru Haji Hadi,” katanya.

Sebelum ini, DAP menuduh Hadi bersikap tidak bermaruah apabila menjalinkan kerjasama dengan Umno untuk melanggari kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menggesa supaya Hadi meninggalkan Pakatan Rakyat jika mahu meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung hudud di Dewan Rakyat.

Lebih parah apabila DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi namun pada masa sama mahu meneruskan komitmen mereka dalam pakatan pembangkang.





Artikel Lain