suria

Kerajaan Senarai Hitam Pelajar, Kedai Buku Salah Guna BR1M

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan menyenaraihitamkan mana-mana pelajar dan kedai buku yang didapati menyalahgunakan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata pihaknya telah mengagihkan garis panduan penggunaan dan penerimaan BB1M kepada semua kedai buku dan institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

"KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) turut melaksanakan proses pemantauan ke atas kedai buku dan semua universiti yang mengagihkan BB1M kepada pelajarnya berdasarkan pengurusan rekod mereka.

"Selain itu, kami turut memberi peringatan kepada para pelajar yang menerima BB1M supaya tidak menukarkannya kepada bentuk tunai dan hanya dihadkan dalam pembelian buku sahaja," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, Rabu.

Dr Asyraf ingin tahu sejauh mana proses pemantauan dibuat dalam memastikan bantuan BB1M berjumlah RM250 setiap pelajar dimanfaatkan dan tidak disalahgunakan oleh pelajar IPT.

Yap berkata pemberian BB1M kepada semua pelajar adalah bagi meringankan beban perbelanjaan pembelian buku serta memupuk minat membaca dalam kalangan mereka.

"Oleh itu, kami memerlukan kerjasama daripada semua pihak, termasuk orang awam dan pemimpin masyarakat supaya membuat aduan kepada kami sekiranya mendapati penyalahgunaan BB1M dalam kalangan pelajar," katanya. 

BR1M, Kedai Buku

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain