suria

PRK Pmtg Pauh: Pemimpin Pas Pusat Tidak Hadir Pelancaran Jentera PKR

Tiada pimpinan PAS pusat hadir pada majlis pelancaran jentera PKR sempena Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh di parlimen itu pada Selasa.

BUKIT MERTAJAM: Majlis pelancaran jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di sini, diadakan tanpa penglibatan pemimpin tertinggi PAS Pusat.

Majlis itu dihadiri kesemua pemimpin tertinggi PKR dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, namun PAS hanya diwakili Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Pulau Pinang iaitu ADUN Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man.

Ketika berucap, Mujahid berkata bahawa Timbalan Presiden PAS merangkap Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu, tidak dapat hadir pada majlis tersebut berikutan alasan yang tidak dapat dielakkan.

"Walaupun Timbalan Presiden kita tidak dapat hadir, PAS negeri akan memberi  101 peratus sokongan kepada PKR dalam PRK Permatang Pauh. PAS komited dengan rakannya dalam pakatan pembangkang," katanya.

Antara pemimpin pakatan pembangkang yang hadir ialah Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail; Timbalan Presiden PKR Azmin Ali; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Jentera PKR memilih slogan 'Demi Rakyat, Bantah GST Tegakkan Keadilan' bagi menghadapi kempen PRK Permatang Pauh.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lepas, yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

PKR, PRK Permatang Pauh

Artikel Berikut

Artikel Lain