suria

H1N1 Di Malaysia Masih Terkawal

Kelihatan beberapa orang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pay Teck untuk melakukan pemeriksaan berikutan seorang pelajar sekolah tersebut disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1) dan masih dalam siasatan di Melaka pada Selasa. -fotoBERNAMA

JASIN: Jangkitan H1N1 di negara ini masih terkawal dan Kementerian Kesihatan tidak berhasrat untuk mengisytiharkan jangkitan itu sebagai satu wabak buat masa ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata ada satu atau dua kes jangkitan H1N1 di Kuala Lumpur dan beberapa kes jangkitan sekali-sekala di negara ini tetapi kementerian menganggapnya hanya sebagai satu bentuk selesema.

"Tetapi kami berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak menular kepada orang lain. Jika ada kes yang disahkan selepas diagnostik, kami akan mengasingkan pesakit bagi suatu tempoh masa," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan dewan baharu Kuil Devi Sri Maha Mariamman di Bemban di sini, Selasa malam.

Ketika ditanya mengenai kes yang disyaki jangkitan H1N1 melibatkan seorang pelajar sekolah berusia 10 tahun di Melaka, Subramaniam berkata jangkitan itu masih belum disahkan.

"Masa dua atau tiga hari diperlukan untuk menjalankan ujian seperti ujian darah, jadi kami tidak dapat mengesahkan sama ada ia H1N1 atau tidak, kami akan beritahu kamu semua jika jangkitan itu H1N1," katanya.

Subramaniam meminta orang ramai bertenang dan tidak terburu-buru membuat kesimpulan berhubung kes jangkitan H1N1 di negara ini kerana berbuat demikian akan menimbulkan panik dan takut di kalangan orang ramai.

Seorang pelajar dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Pay Teck di sini disyaki menghidap H1N1 dan kini berada dalam keadaan koma. Pelajar lelaki itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini selepas dimasukkan ke wad akibat demam panas Jumaat lepas.

Ketika mengulas mengenai kira-kira 12 murid yang menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor Baharu, beliau berkata laporan awal menunjukkan bahawa ia bukan jangkitan HFMD yang berbahaya.

"Jangkitan HFMD yang berbahaya ialah jangkitan daripada haiwan tetapi jangkitan yang dilaporkan di Johor ialah HFMD yang biasa menjangkiti kanak-kanak dan boleh disembuhkan, orang ramai tidak perlu bimbang," katanya.

Sementara itu Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin berkata sebagai langkah awal, pihaknya mengambil tindakan serta-merta dengan melakukan saringan vaksin di SRJK (C) Pay Teck dengan kerjasama Jabatan Kesihatan.

"Sehingga tengah hari tadi, seramai 170 daripada 390 pelajar telah pulang ke rumah masing-masing dan walaupun jangkitan H1N1 itu belum disahkan. Kami mengambil semua langkah perlu bagi memastikan anak-anak kita tidak menghadapi risiko terdedah dengan H1N1," katanya.

H1N1

Artikel Sebelum

Artikel Lain