suria

Warga Emas Teruja Dapat Lesen B2

Peserta program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) (dari kiri) Dolah Endun, Chan Baba, K. Tharumadorai dan Ana Ongkeh menunjukkan replika lesen B2 yang diperoleh mereka pada majlis penutup program berkenaan di Melaka pada Ahad. Seramai 261 calon dari daerah di negeri Melaka berjaya memperoleh lesen memandu kelas B2 melibatkan 145 orang dari daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (73) dan Jasin (43).

MELAKA: Setelah kira-kira 30 tahun menunggang motosikal tanpa lesen, dua warga emas berjaya memperoleh lesen B2 melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).

Dolah Endun, 65, dan Chan Baba, 60, yang mempunyai cerita tersendiri mengapa mereka tidak mendapatkan lesen, amat bersyukur mendapat peluang itu.

Dolah dari Bukit Rambai berkata sebelum ini beliau tidak mampu mendapatkan lesen disebabkan kesempitan hidup yang dialaminya sejak muda.

"Dulu pak cik hidup susah. Tapi syukur sekarang anak-anak sudah kerja dan masing-masing bantu pak cik beli motor baharu dan ambil lesen," katanya.

Beliau ditemui pada program SKSJ bagi kawasan Klebang di sini yang majlis penutupnya dilakukan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob.

Dolah berkata beliau kini dapat menunggang motosikal dengan hati tenang tanpa risau disaman pihak berkuasa kerana tidak mempunyai lesen.

Sementara itu Chan dari Taman Sayang Selasih, Klebang pernah memperoleh lesen L, bagaimanapun tidak meneruskan hasrat untuk mendapatkan lesen B2 setelah terlibat dalam kemalangan kira-kira 30 tahun lepas.

"Lepas kemalangan itu saya berasa takut hendak ambil lesen sampailah sekarang baru terbuka hati. Itu pun selepas kawan-kawan bagi tahu ada program SKSJ.

"Bila dah dapat lesen rasa rasa dunia ini terbuka luas. Kalau tidak dulu nampak kereta lain nyalakan lampu besar mesti rasa takut sebab mungkin ada sekatan jalan raya di depan," katanya.

K.Tharumadorai, 49, dari Durian Tunggal, Alor Gajah berkata program SKSJ perlu diteruskan bagi membantu golongan buta huruf sepertinya untuk mudah mendapatkan lesen memandu.

"Saya tidak ada lesen sudah 20 tahun kerana saya orang susah dan tidak tahu membaca (bagi menduduki ujian menulis/komputer). Sebelum ini saya menunggang motosikal tanpa lesen dengan rasa takut dan pernah beberapa kali disaman, tetapi sekarang rasa gembira kerana sudah ada lesen," katanya.

Warga Emas, B2

Artikel Lain