suria

MCA Galak Belia Cina Sertai Perkhidmatan Awam

KUALA LUMPUR: MCA akan memperbanyakkan pelan tindakan afirmatif untuk meningkatkan penyertaan kaum Cina dalam perkhidmatan awam.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penyertaan lebih banyak kaum Cina dalam perkhidmatan awam adalah penting, terutamanya sekarang, untuk membantu kerajaan memperjelaskan tentang dasar dan agenda pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) kepada akar umbi.

"Saya akan mengemukakan cadangan bagi pelan tindakan yang lebih afirmatif untuk dilaksanakan, untuk meningkatkan jumlah kaum Cina dalam perkhidmatan awam," katanya ketika merasmikan bengkel RMK-11 di Wisma MCA di sini, Ahad.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Liow yang juga Menteri Pengangkutan, berkata terdapat kurang daripada 10 peratus kaum Cina dalam perkidmatan awam pada masa ini berbanding lebih 20 peratus dalam tahun 1980-an.

"Kami mahu menggalakkan lebih banyak kaum Cina menyertai sektor awam, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, tetapi juga di peringkat negeri dan majlis tempatan," katanya.

Selain menyediakan ganjaran menarik, beliau berkata sektor itu turut menawarkan gaji bulanan minimum RM1,000 kepada kakitangannya.

Kira-kira 40 wakil dari kumpulan sekerja dan persatuan Cina menyertai bengkel itu, yang membincangkan tentang RMK-11 dengan harapan untuk mengemukakan cadangan bagi kaum berkenaan dalam rancangan pembangunan lima tahun itu sebelum pelaksanaannya.

MCA, Perkhidmatan Awam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain