suria

Tiada Cadangan Ganti BR1M Dengan Baucar Barangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada bayaran tunai kepada kupon atau baucar barang seperti Program Bantuan Khasiat Makanan (SNAP) di Amerika Syarikat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad berkata ini kerana kerajaan telah berjanji bantuan berkenaan diberi dalam bentuk tunai dan akan dinaikkan sehingga RM1,200 dalam masa lima tahun sejak pelaksanaannya pada 2012.

"Sebab kedua kita mahu penerima dapat nilai yang tepat kerana apabila ditukar kepada baucar barang, mereka tidak akan dapat nilai sepenuhnya kerana peniaga akan ambil untung," katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menukarkan baucar BR1M kepada bentuk kupon atau baucar barang seperti program SNAP bagi memastikan penerima menggunakan wang itu untuk tujuan sepatutnya.

Menjawab soalan tambahan Irmohizam, Ahmad mengulangi pendirian kerajaan yang akan menyenaraihitamkan penerima BR1M yang menipu dengan menuntut bantuan itu sebanyak dua kali.

Katanya sehingga kini hanya 1,806 penerima daripada 6,776 orang yang menuntut dua kali telah membayar balik dan bakinya akan disenarai hitam untuk bantuan akan datang.

Ahmad menjelaskan bahawa bagi mengelak perkara tersebut berulang kemungkinan tiada lagi baucar akan dikeluarkan dengan mengkreditkan terus bayaran ke dalam akaun.

"Atau kita akan keluarkan baucar yang mempunyai ciri keselamatan tinggi bagi mengelak penipuan oleh penerima," katanya.

Ahmad berkata pada tahun ini jumlah penerima BR1M ialah berjumlah  7,286,268 orang dengan nilai peruntukan RM5.2 bilion.

BR1M, Dewan Rakyat

Artikel Lain