suria

Saksi Lihat Helikopter Meletup di Udara

SEMENYIH: Saksi melihat sebuah helikopter, yang dinaiki enam orang, meletup di udara sebelum terhempas dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang Sabtu. 

Roslan Harun, 54, seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga stor berhampiran tempat kejadian, berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.

"Meletup terus, berkecai di udara, tak jauh dari tanah, kipas dan ekor helikopter terpelanting ke merata tempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Roslan yang ketika itu  berehat di rumahnya kira-kira satu kilometer (km) dari tempat nahas helikopter itu, berkata beliau cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi membatalkan niatnya dan terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat

Menurutnya kawasan nahas itu terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan ini.


"Nak masuk ke tempat helikopter betul-betul terhempas, kita kena masuk 2km ke dalam kawasan kebun getah," katanya. 

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang Sabtu.

Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Azlin, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bersama empat lagi dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur dengan menaiki helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB), yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih petang Sabtu. 

Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.


saksi, meletup di udara

Artikel Lain