suria

Persiapan Pengebumian Jenazah Jamaluddin Jarjis Di Makam Pahlawan Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas menteri, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, seorang daripada enam mangsa nahas helikopter di Semenyih, akan disemadikan di bahagian luar Makam Pahlawan, Masjid Negara, Ahad.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, jenazah dijangka dikebumikan petang ini dan persiapan sedang giat dijalankan.

"Ketua Imam Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad akan mengetuai solat jenazah dan bacaan talkin di Makam Pahlawan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan hadir untuk memberikan penghormatan terakhir sebaik sahaja menghadiri upacara pengebumian jenazah Datuk Azlin Alias di Kajang," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata, bagi upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, ia akan diketuai Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat.

Sementara itu, keadaan di pekarangan Makam Pahlawan di sini tenang dengan petugas menjalankan persiapan untuk upacara pengebumian negara itu.

Makam Pahlawan yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu luar dan dalam (kubah) adalah kawasan perkuburan khas yang siap dibina pada 1965 khusus untuk pemimpin dan wira yang meninggal dunia, berjasa serta berkorban untuk negara.

Balu kepada Perdana Menteri Malaysia ketiga Tun Hussein Onn, allahyarham Tun Suhailah Mohamad Noah yang meninggal dunia pada 5 Oktober 2014 adalah jenazah terakhir dikebumikan di bahagian luar makam bersama 10 jenazah lain.

Jamaluddin, 64 yang merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Azlin, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bersama empat lagi dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur dengan menaiki helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB), yang terhempas di kawasan kebun getah di Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Razakan Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Kesemua mayat, yang ditemui pasukan mencari dan menyelamat melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam beberapa jam selepas insiden itu, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan pengecaman identiti.

Artikel Berikut

Tragedi Semenyih

Artikel Lain