suria

Masih Tiada Pengesahan Rasmi Marwan Terbunuh

Kematian Marwan masih belum dapat disahkan oleh PDRM.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu kenyataan rasmi daripada Polis Filipina berkenaan pengesahan bahawa Zulkifli Hir, salah seorang pengganas rakyat Malaysia paling dikehendaki, telah terbunuh dalam satu serbuan di Filipina, Januari lalu.

Menurut sumber, berdasarkan maklumat terkini ia hampir pasti bahawa Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Marwan merupakan individu yang terbunuh itu.

"Ini berdasarkan ujian DNA dengan seorang anggota keluarganya. Selain itu, sejak kejadian serbuan itu, tiada lagi hubungan komunikasi antara Marwan dan isterinya di Malaysia.

"Tetapi perkara ini hanya boleh disahkan oleh Polis Filipina. Pihak mereka yang akan buat kenyataan rasmi," kata sumber itu di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi berkata pihaknya masih tidak dapat mengesahkan dengan lanjut berhubung perkara itu.

"Kita tidak dapat mengesahkan 100 peratus tetapi kemungkinan besar ia adalah Zulkifli Hir," katanya.

Menurut laporan berita Reuters, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat mengesahkan bahawa Marwan terbunuh dalam satu serbuan di Filipina Januari lalu.

Menurut laporan yang memetik sumber yang terdekat dengan penyiasatan itu, FBI dapat mengesahkan kematiannya melalui bahagian analisis DNA jari terputus yang dikumpulkan pihak berkuasa Filipina, di mana ia diambil daripada tempat kejadian serbuan yang telah menyebabkan kematian Marwan.

Artikel Lain