suria

Terima Kasih Kerajaan Pusat Atas Bantuan Banjir - Exco Kelantan

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan pada Khamis berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana sentiasa membantu untuk memulihkan kembali negeri itu selepas teruk dilanda banjir besar pada Disember tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan pusat menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa memberikan kerjasama baik demi kepentingan rakyat negeri itu.

"Saya ambil contoh persetujuan mesyuarat di Putrajaya. Banyak kita (dapat peruntukan) baik pulih sama ada dari sudut infrastruktur, malah Padang Perdana  (di Kota Baharu) juga kita dapat peruntukan kira-kira RM100,000 dari KPKT untuk baik pulih.

"Terima kasih kepada kerajaan pusat telah beri peruntukan untuk baik pulih infrastruktur di dalam (seliaan) pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dengan banjir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Pertandingan Jerlun International 4x4 Extreme 2015 di Kota Darul Naim di sini, Khamis.

Beliau berkata setakat ini kerja membaik pulih infrastruktur yang rosak di beberapa jajahan yang terjejas teruk seperti Kuala Krai dan Tanah Merah sedang dilaksanakan.

"Di Kuala Krai kita mohon untuk membina bangunan (majlis daerah) yang baharu sebab kawasan tersebut sering dilanda banjir tiap tahun dan kita ada beri cadangan kepada KPKT dan pada asasnya mereka bersetuju untuk membina pejabat  baharu di Kuala Krai," katanya.

Artikel Lain