suria

Mahkamah Tinggi Ipoh Benar Jude Pereira Diterima Masuk Ke Badan Peguam

Jude Pereira (Gambar fail)
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membenarkan pegawai bekas penyiasat dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diterima masuk ke badan peguam sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya selepas memutuskan beliau memenuhi syarat-syarat tertentu.

Pesuruhjaya Kehakiman SM Komathy Suppiah membuat perintah itu selepas Judy Blacious a/l Pereira AF (juga dikenali sebagai Jude Pereira) memberi akujanji peribadi untuk menghadiri seminar hak asasi manusia, forum, aktiviti atau program anjuran Majlis Peguam atau Badan Peguam Perak, selama lapan jam dalam tempoh tiga bulan.

Beliau diwakili peguam M Yunus Ali sementara Kenny Lai mewakili Badan Peguam Perak.

Jude Pereira memfailkan petisyen pertama untuk diterima masuk sebagai peguam pada 23 Julai, 2012 tetapi petisyen itu ditolak pada 15 Jan, tahun lepas.

Bagaimanapun, pada 3 September, tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan petisyen didengar sekali lagi oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 17 Disember, tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan supaya Jude Pereira dibenar diterima masuk ke Badan Peguam, walaupun tiga bulan daripada tarikh tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng, dalam penghakimannya, berkata dalam tempoh tersebut, pemohon perlu menghadiri beberapa seminar hak asasi manusia, forum, aktiviti atau program yang dianjurkan oleh jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam.

Lee, yang tidak mengeluarkan apa-apa perintah mengenai kos, juga memerintahkan supaya 9 pagi 25 Mac 2015 direkodkan sebagai waktu dan tarikh dan bagi Jude Pereira diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Majlis Peguam membantah penerimaan masuk beliau ke badan peguam dengan menarik perhatian kepada inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kes membabitkan penangkapan lima orang peguam semasa upacara menyalakan lilin, yang menyimpulkan bahawa Jude Pereira bukan seorang saksi yang boleh dipercayai.

Ketika ditemui pemberita di luar ruang mahkamah, Jude Pereira berkata, beliau gembira dengan keputusan itu dan sangat berterima kasih kepada semua yang membantu memastikan kejayaan usahanya.

Artikel Lain