suria

Kabinet Tidak Bincang Pembentangan Hudud - Nazri

KUALA LUMPUR: Kabinet tidak membincangkan mengenai rang undang-undang persendirian berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dikatakan akan dibentang oleh wakil rakyat PAS.

Pengakuan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu sekaligus menjelaskan mengenai status terkini hasrat PAS untuk memastikan rang undang-undang tersebut berjaya atau tidak untuk dibentangkang pada sesi Parlimen kali ini yang bakal berakhir 9 April depan.

"Tidak, hudud tidak dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet (Jumaat lalu).

"Terlalu banyak tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan, walaupun kami tiada kaitan dengan PAS,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Sehingga kini Barisan Nasional (BN) belum menyatakan pendirian rasmi berhubung cadangan pindaan Akta 355 yang akan dibentangkan PAS.

Bagaimanapun sebelum ini, Naib Presiden Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan mengesahkan bahawa rang undang-undang pindaan itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet 20 Mac lalu.

Pada Isnin, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tetap akan membentangkan usul persendirian di Parlimen untuk meminda Akta 355 berhubung peruntukan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah beragama Islam di negara ini.

Katanya, usul itu melibatkan pindaan Jadual 9 (Akta 355) berhubung undang-undang jenayah syariah negeri Kelantan untuk memberikan kuasa kepada mahkamah syariah menghukum umat Islam mengikut kadar yang diperuntukkan kerajaan negeri.

Artikel Lain