suria

Azmin Dakwa Kerajaan Pusat Langgar Perjanjian Air

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pada Selasa mendakwa kerajaan persekutuan cuba mengambil alih keseluruhan jajaran 26,000 kilometer aset paip air termasuk tanah walaupun bercanggah dengan perjanjian utama penstrukturan semula perkhidmatan air negeri itu.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mendakwa tindakan kerajaan persekutuan itu menjadi punca pihaknya sebelum ini membatalkan rundingan penstrukturan yang ditandatangani bersama pada 12 Sept 2014 sebelum bersetuju untuk berunding semula pada 23 Mac lepas.

"...sedangkan dalam perjanjian utama kita sudah nyatakan senarai aset syarikat konsesi yang akan dipindah milik (kepada kerajaan persekutuan) bagi proses penstrukturan semula perkhidmatan air tetapi bukan tanah," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang ingin mengetahui status penstrukturan semula industri air negeri Selangor.

Mohamed Azmin turut mendakwa kerajaan persekutuan cuba memutar belit kenyataan dengan menyalahkan kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan rundingan air itu sedangkan semasa perjanjian utama ditandatangani, kedua-dua pihak telah meneliti setiap perincian perjanjian yang disediakan.

Malah Mohamed Azmin juga menyifatkan keengganan kerajaan persekutuan bersetuju dengan senarai pemindahan aset air mengikut semangat perjanjian utama menyebabkan proses memuktamadkan rundingan air terus tergendala.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri hanya akan memuktamadkan perjanjian utama penstrukturan industri air berkenaan sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju dengan syarat utama itu.

Pada 25 Mac lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegaskan pihaknya masih mengekalkan terma perjanjian utama tersebut selepas berbincang dengan kerajaan Selangor pada 23 Mac lepas.

Dr Maximus menyatakan status dua aset tanah di Bukit Nanas dan Semenyih yang terlibat dalam perjanjian utama itu akan ditentukan selepas perbincangan seterusnya antara kedua-dua belah pihak.

Pada Isnin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya  perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada 12 Sept 2014.

Air Selangor, Azmin Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain