suria

Tibi Masih Punca Utama Kematian Di Malaysia

LABUAN: Batuk kering (tibi) masih merupakan punca utama kematian disebabkan penyakit berjangkit di Malaysia dengan 1,603 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 1,597 pada 2013.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sepanjang tahun lepas, pemeriksaan dilakukan terhadap 543,146 pesakit yang mempunyai gejala TB dan daripada jumlah itu, 15,232 didapati positif tuberculin.

Katanya, usaha bersepadu untuk mengawal penularan TB perlu dilakukan berikutan peningkatan kes penyakit itu sebanyak 2.7 peratus daripada 24,071 pada 2013 kepada 24,711 tahun lepas.

Beliau menggesa pengamal perubatan termasuk agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkenaan berganding bahu untuk mengawal penularan penyakit itu dengan melakukan pemeriksaan terhadap penghuni pusat koreksional, penghuni rumah penjagaan orang tua, pesakit dijangkiti HIV, penghidap diabetes, perokok dan sebagainya.

"Kita masih boleh mengawal penularanya melalui pengesanan dan rawatan awal," kata beliau pada majlis pelancaran sambutan Hari TB Sedunia Peringkat Kebangsaan. di sini, Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 1.5 juta manusia meninggal dunia akibat TB di seluruh dunia dan pihaknya menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya sembilan juta kes baharu, 550,000 daripadanya melibatkan kanak-kanak.

Katanya, kira-kira 80,000 kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit itu di seluruh dunia pada 2013.

Beliau berkata, Labuan mencatat kadar kes TB paling tinggi di Malaysia iaitu lebih 100 kes bagi setiap 10,0000 penduduk.

"Oleh itu, saya menggesa agar lebih banyak program pendidikan dan kesedaran tentang TB diadakan dengan kerjasama badan berkaitan bagi membantu mengawal penularan penyakit ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain