suria

GST: Bilik Gerakan Pantau Aduan Pengguna - Hasan Malek

Hasan Malek.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan 'war room' atau bilik gerakan bagi memantau aduan pengguna dan menyelaras tindakan susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, bilik gerakan yang bertempat di bangunan kementerian itu di sini akan beroperasi 24 jam dengan dikendalikan 40 petugas secara bergilir bagi mendapatkan situasi kesan pelaksanaan cukai berkenaan.

Beliau berkata, bilik gerakan itu akan memastikan setiap aduan diberi perhatian untuk ditangani segera oleh 2,000 anggota penguatkuasa kementerian yang bersiap siaga di seluruh negara.

"Dalam war room itu kita tempatkan segala kemudahan dan peralatan yang membolehkan setiap laporan yang diterima berhubung tindakan peniaga dikumpul sebelum disalurkan kepada bahagian penguatkuasaan di negeri atau kawasan berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus adalah bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

"Kita lakukan demi kebaikan rakyat dan kementerian memerlukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan laporan bagi membolehkan tindakan diambil," katanya," sambil menambah bilik gerakan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat itu boleh dihubungi di talian 03-88826245.

Hasan Malek, GST, KPDNKK

Artikel Lain