suria

COO Kumpulan Media Star Terima Anugerah

Wong menerima anugerah daripada Dr R.L. Bhatia.
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) Pembangunan Kandungan Kumpulan Media Star () June H.L. Wong menerima anugerah Golden Globe Tigers bagi Kepimpinan Wanita diatas sumbangan beliau dalam industri media.

Majlis penyampaian anugerah itu merupakan sebahagian daripada program tiga hari Sidang Kemuncak Pemasaran Dunia (WMS) yang dianjurkan sempena CMO Asia dan Hari CSR Dunia.

Pengasas anugerah tersebut, Dr R.L. Bhatia berkata penyampaian anugerah itu dilakukan berasaskan kepercayaan bahawa kecemerlangan tiada batasan dan kesempurnaan tiada had serta sasaran adalah peristiwa penting; bukan penamat sesuatu perjalanan.

"Kami menilai individu dan organisasi yang memberikan sumbangan besar kepada masyarakat," katanya ketika berucap di Hotel Prince & Residences.

Jelas beliau, anugerah tersebut sebagai tanda pengiktirafan kepada mereka.

Wong memulakan kariernya sebagai wartawan yang membuat liputan berita politik, perumahan dan pengangkutan sebelum bertukar ke meja rencana.

Di meja rencana, beliau banyak menghasilkan penulisan mengenai wanita, isu sosial dan hak manusia selain gaya hidup dan fesyen.

Sepanjang karier sebagai wartawan, Wong menulis pelbagai artikel untuk mengetengahkan isu yang dihadapi wanita selain pencapaian mereka.

Minatnya terhadap isu tersebut membolehkan beliau membuat liputan dalam persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wanita di Beijing pada 1995.

Wong turut menyertai Persidangan Kepimpinan Media Wanita Antarabangsa di Washington D.C pada 2011 untuk merangka pelan tindakan bagi taraf kesaksamaan di bilik berita.

Beliau akhirnya meninggalkan dunia kewartawanan dan dilantik sebagai eksekutif editor, pengarah urusan dan ketua editor kumpulan sebelum dinaikkan pangkat sebagai COO Kumpulan Media Star.

Anugerah lain yang disampaikan dalam majlis tersebut adalah kepimpinan lestari, kecemerlangan dalam tanggungjawab sosial korporat, kecemerlangan dalam industri perhotelan dan kecemerlangan dalam kepimpinan kejurulatihan.


Artikel Lain