suria

Ibu Bapa Perlu Pantau Anak Elak Terjebak Dengan IS

ALOR SETAR: Ibu bapa yang melihat anak-anak mereka cenderung kepada kumpulan militan IS perlu membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata ibu bapa perlu memantau pergerakan anak mereka agar tidak terjerumus dalam kegiatan membabitkan kumpulan militan itu.

Beliau berkata ini kerana kumpulan militan IS mempunyai pelbagai cara untuk menarik minat golongan muda khususnya bagi menyertai kumpulan tersebut tanpa pengetahuan anggota keluarga.
 
"Kita sentiasa buat pemantauan kegiatan berunsur IS di negeri ini dan kita tak henti-henti kumpul maklumat. Kita kenal pasti beberapa individu dan siasatan dijalankan dengan Polis Bukit Aman," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis ke-208 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini Rabu.

Katanya pihaknya kerap melakukan pemantauan terhadap kegiatan yang berlaku dalam madrasah di negeri ini agar proses pembelajaran atau aktiviti pelajar tidak mendorong kepada militan IS.

Zakaria berkata setakat ini siasatan yang dijalankan pihaknya menunjukkan kemajuan tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenai siasatan yang dijalankan ke atas mereka yang cenderung kepada kegiatan IS.
 
"Kita harap penguatkuasaan yang kita jalankan ini akan beri kesedaran kepada mereka yang cuba berjinak-jinak dengan IS dan harap mereka tidak akan terlibat," katanya.

Di JOHOR, Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Ismail Yatim berkata keperluan untuk menambah 1,000 keanggotaan polis di negeri itu, akan diberi keutamaan tahun ini berikutan kepesatan pembangunan yang sedang berlaku di Johor.

Katanya pertambahan itu yang akan mempergiatkan lagi usaha polis untuk menurunkan kadar jenayah di negeri itu, dipersetujui kepimpinan PDRM.

"Keanggotaan ini yang melibatkan penjawatan pelbagai pangkat akan diisi tahun ini, sebagai menambah kekuatan sedia ada iaitu kira-kira 9,000 orang bagi kontinjen Johor," katanya ditemui selepas sambutan peringatan Hari Polis ke-208 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Baharu.

PDRM mengambil kira-kira 6,000 anggota untuk pelbagai pangkat setiap tahun.

Bagaimanapun, jumlah itu masih lagi tidak mencukupi untuk mengisi keseluruhan 14,000 keanggotaan yang masih kosong.

Pada majlis itu, sebanyak 14 pegawai dan anggota polis menerima surat  penghargaan daripada Ketua Polis Negara dan 114 lagi menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Johor.

Di PUTRAJAYA, kes jenayah di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu masih terkawal dengan purata 30 kes dicatatkan sebulan membabitkan jenayah seperti pecah rumah dan curi motor.

"Walaupun pertambahan bangunan pejabat dan kawasan perumahan serta jumlah penduduk, namun jenayah di sini masih terkawal kerana mendapat kerjasama daripada persatuan penduduk dan orang awam yang menghulurkan maklumat selain  rondaan yang dibuat oleh pihak kami," kata Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-208 peringkat Ibu pejabat Polis Daerah Putrajaya, beliau berharap kerjasama sedemikian terus dipertingkatkan pada masa akan datang dan seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah di Putrajaya.


IS

Artikel Lain