suria

Penggunaan 'Boom Gate' Sah Disisi Undang-Undang

Penggunaan bom gate sah disisi undang-undang.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan penggunaan pintu berpalang (boom gate) dan pembinaan pondok pengawal keselamatan di pintu keluar masuk kawasan perumahan adalah sah di sisi undang-undang.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel lima hakim, berkata akses berperaturan ke kawasan yang ditakrifkan bukan satu halangan dalam undang-undang terutama jika ia untuk tujuan keselamatan.

"Ia menjadi sebegitu jika seseorang itu dinafikan akses ke tempat awam. Ia bukan penghadang yang diletakkan di laluan orang ramai untuk menyekat sama sekali orang yang ingin memasuki kawasan itu," katanya dalam penghakiman ringkas setebal 10 muka surat yang dikeluarkan pada 19 Mac lepas.

Beliau berkata pondok pengawal keselamatan dan pintu berpalang merupakan kemudahan infrastruktur yang dibenarkan di bawah Akta Perancangan bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Ia tidak boleh dipertikaikan bahawa komuniti berpengawal merupakan skim yang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan awam di kawasan perumahan yang ditakrifkan," katanya.

Panel tersebut membuat keputusan itu selepas membatalkan rayuan yang dikemukakan oleh seorang penduduk kawasan perumahan D'Villa Equestrian di Kota Damansara, Petaling Jaya, Au Kean Hoe, yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap Persatuan Penduduk D'Villa Equestrian.

Au mendakwa pondok pengawal dan dua pintu berpalang yang dibina di kawasan perumahan itu harus dirobohkan kerana ia merupakan struktur haram, kacau ganggu dan dianggap sebagai satu halangan.

Zulkefli berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebagai pihak berkuasa tempatan dalam kes ini, diberi kuasa undang-undang untuk meluluskan pondok pengawal dan pintu berpalang selaras dengan garisan panduan MBPJ untuk komuniti berpengawal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan pada Mei 2011.

Menurutnya pihak pemaju taman perumahan itu telah memperoleh kelulusan daripada MBPJ untuk pembinaan pondok pengawal tersebut.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuat kesimpulan dengan tepat bahawa dakwaan Au berhubung kemudhan tersebut bukanlah perbuatan kacau ganggu.

Pada Ogos 2010, Au tidak lagi menjadi ahli persatuan penduduk itu dan berhenti membayar yuran penyelenggaraan bulanan sebanyak RM250 sebelum dikurangkan kepada RM200.

Au membuat laporan polis dan aduan atas talian kepada MBPJ selepas persatuan penduduk mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 25 Oktober 2011, memaklumkan penduduk yang tidak membayar yuran penyelenggaran perlu membuka sendiri pintu berpalang tanpa bantuan pengawal keselamatan bertugas.

Au kemudian mengambil tindakan undang-undang atas alasan kacau ganggu manakala persatuan penduduk itu membuat tuntutan balas bagi tunggakan yuran penyelenggaran dan memohon perintah injuksi bagi menghalang Au daripada menggangu persatuan dan juga pengawal di pondok kawalan keselamatan.

Mahkamah Tinggi menolak tuntutan Au tetapi membenarkan tuntutan balas oleh persatuan itu dan mengeluarkan perintah injuksi. 

Au akhirnya gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.

boom gate, Au Kean Hoe

Artikel Lain