suria

PRK Chempaka: SPR Anggar 55 Peratus Keluar Mengundi

Pengundi-pengundi membuat semakan daftar pemilih sebelum membuang undi pada PRK DUN Chempaka di Sekolah Kebangsaan Parang Puting, Kota Bharu pada Ahad. Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan sejumlah 55 peratus daripada 21,890 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Ahad.

Jurucakap SPR berkata, peratusan berkenaan termasuk undi pos dan undi awal yang telah dijalankan pada Rabu lepas.

"Peratusan sebenar dan jumlah tepat pengundi akan diumumkan selepas proses penjumlahan undi selesai malam ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Jurucakap itu berkata, pengiraan undi dibuat di pusat penjumlahan undi di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa di sini, dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada pukul 9.30 malam. 

PRK DUN Chempaka ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55; dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lepas.

Chempaka

Artikel Lain