suria

Malaysia Kutuk Serangan Terhadap Orang Awam Di Afghanistan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk perbuatan yang sengaja menyasarkan nyawa orang awam di Afghanistan.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff berkata mengikut dokumen, angka tertinggi kematian orang awam telah direkodkan tahun lepas, dengan 3,699 kematian dan 6,489 cedera, seperti dicatatkan dalam Laporan Perlindungan Orang Awam dalam Konflik Bersenjata di Afghanistan, Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA).

"Delegasi saya khususnya amat bimbang dengan peningkatan impak negatif terhadap kanak-kanak akibat konflik itu.

"Kami terkejut dengan insiden berulang dilakukan kumpulan bersenjata antikerajaan yang membunuh dan mencacatkan kanak-kanak Afghan, serta menyerang sekolah-sekolah dan hospital-hospital," katanya.

Hussein berucap pada taklimat Majlis Keselamatan berhubung situasi di Afghanistan di New York. Teks ucapan beliau dihantar ke Bernama pada Selasa.

Hussein berkata semua pihak sepatutnya menghormati semangat undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memenangi hati dan minda rakyat Afghanistan  terhadap proses perdamaian dan integrasi nasional mereka.

Beliau merakamkan takziah kepada Afghanistan atas insiden tragik kematian  lebih 220 orang dan lebih 6,000 keluarga kehilangan tempat tinggal di seluruh negara itu akibat keadaan cuaca ekstrem bulan lepas.

Sementara itu, Malaysia mengucapkan tahniah kepada Afghanistan atas peralihan bersejarah kepada Transformasi Dekad.

"Peralihan ke dalam transformasi dekad akan membawa pelbagai cabaran baharu serta pelbagai pendekatan baharu bagi kerjasama untuk menyelesaikannya," kata Hussein.

Beliau berkata Malaysia percaya masyarakat antarabangsa perlu terus memberi sokongan kepada Afghanistan tatkala negara itu melaksanakan langkah yang telah digariskannya.

"Ketika ini kami perlu menumpukan pada pendekatan untuk melengkapi dan memastikan Afghanistan memanfaatkan apa yang telah dicapainya," katanya.

Malaysia turut mengambil perhatian akan pentingnya politik dan aktiviti pembangunan yang dilaksanakan secara aktif oleh pelbagai organisasi antarabangsa di Afghanistan, serta bantuan dan sumber antarabangsa yang lain, diselaraskan dengan keutamaan yang ditetapkan oleh kerajaan Afghanistan, kata Hussein.

"Kami percaya pada peringkat ini adalah amat penting bagi PBB dan masyarakat antarabangsa untuk terus menghulurkan bantuan, galakan dan sokongan kepada Afghanistan berhubung usaha pembangunan semula bagi pembinaan semula negara," katanya.

Beliau berkata tatkala Afghanistan meneruskan usaha memastikan keamanan dan kestabilan di negaranya, Malaysia kekal komited dalam menghulurkan sokongan terhadap usaha menjamin keamanan di Afghanistan dan bantuan lain yang diperlukannya.

"Saya ingin mengambil peluang di dalam majlis ini untuk merakamkan penghargaan kami kepada kerajaan Afghanistan yang mempelawa Malaysia untuk menyertai Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF).

"Sebelum mandat ISAF berakhir, pasukan perubatan Malaysia telah ditempatkan di negara itu untuk memberikan perkhidmatan perubatan, pergigian dan penjagaan kesihatan kepada orang awam Afghanistan," katanya.

Malaysia, Afghanistan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain