suria

Dua Jiran Didenda RM1,000 Kerana Bergaduh

KUALA LUMPUR: Dua lelaki berjiran dijatuhi hukuman dendaRM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret selepas mereka mengaku bersalah terbabit dalam pergaduhan. 

Majistret Nur Azura Murah menjatuhi hukuman itu ke atas pekerja hotel Madnapis Karim, 33, dan penganggur, Hassan Md Isa, 52, selepas mereka yang didakwa secara berasingan, mengaku bersalah. 

Madnapis didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada jirannya Hassan, dengan memukul kepala Hassan menggunakan sebatang besi di tingkat 3,rumah kedai di Lorong Haji Taib 5, Dang Wangi di sini, kira-kira pukul 11.40 malam, 6 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Sekyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Hassan pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Madnapis dengan cara menumbuk di bahagian lengan kanan dan kaki kiri, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dakwaan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, polis yang menerima aduan mengenai pergaduhan itu telah menahan kedua-dua tertuduh dan merampas sebilah parang panjang serta sebatang besi.

Ketika rayuan, Madnapis sambil menangis memohon hukuman ringan atas alasan dia perlu menyara empat orang anak dan seorang isteri, manakala Hassan tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan memberi pengajaran agar kedua-dua tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

dua jiran bergaduh, denda

Artikel Lain