suria

Saya Tiada Niat Campur Tangan Dalam Kemelut MIC - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tiada niat untuk campur tangan dalam hal ehwal mana-mana parti politik termasuk MIC.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh ROS dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanyalah bersandarkan kepada Akta Pertubuhan 1996 dan perlembagaan MIC.

"Apa yang dilakukan adalah untuk kepimpinan dan ahli-ahli parti mematuhi perlembagaan yang mereka sendiri harus hormati sebab perlembagaan itu adalah perlembagaan mereka," katanya selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon di sini, Isnin.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya tentang kenyataan beberapa pihak dalam MIC yang mahu beliau tidak campur tangan dalam langkah terbaru parti itu mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap ROS dan Ketua Pengarahnya Mohammad Razin Abdullah.

Beliau berkata masalah politik sepatutnya diselesaikan mengikut cara politik dan bukan melalui proses perundangan, kecuali jika tiada jalan politik yang boleh menyelesaikannya.

"Kami tidak mengharapkan MIC terbatal pendaftarannya. Bagaimanapun, saya berterima kasih kerana Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan," kata Ahmad Zahid.

Beliau juga berharap agar sebarang isu yang menjadi pertikaian berhubung perkara yang diputuskan oleh ROS dalam surat rasmi dihantar kepada Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam dapat diteliti sebaik mungkin.

Pada 9 Februari lepas, Ahmad Zahid berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu perlu mengadakan pemilihan semula untuk semua jawatan yang dipilih antara April dan Julai tahun ini bagi mengelak daripada dibatalkan pendaftarannya akibat kemelut parti itu.

Krisis MIC timbul selepas wujud perbezaan pendapat apabila ROS membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC pada pemilihan agung parti yang diadakan di Melaka pada November 2013 berikutan aduan penyelewengan.

Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula untuk semua jawatan itu dalam tempoh 90 hari.

Konflik parti bertambah hangat apabila Palanivel pada 14 Februari lepas, meminta ROS menarik balik semua suratnya kerana mendakwa ia bercanggah dengan akta pertubuhan dan perlembagaan parti serta mengancam akan mengambil tindakan undang-undang jika ROS tidak berbuat demikian.

Susulan itu pada 23 Februari, anggota CWC MIC K. Ramalingam mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh ROS dan Ketua Pengarahnya.


MIC, Ahmad Zahid Hamidi, RoS

Artikel Lain