suria

STPM 2014: Dua Anak Orang Asli Dinobat Calon Terbaik

Farah Syahera dan Najurai bersama keputusan cemerlang STPM masing-masing selepas dinobatkan Calon Terbaik Kategori Orang Asli pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Bersandarkan motto - "Semua orang yang nak berjaya kena ada matlamat dan semua bangsa adalah sama", anak kelahiran Orang Asli ini kini mampu tersenyum bangga apabila dinobatkan Calon Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014.

Berasal dari keluarga petani, Farah Syahera Chin menganggap kejayaan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 sebagai landasan bagi membolehkan beliau memenuhi cita-citanya.

Berhasrat menjadi pendidik, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Sungai Sumum di Perak ini menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM).

"Motto hidup yang dipegang itulah juga yang menjadi salah satu sumber kejayaan saya.

“Pencapaian ini adalah pengalaman paling bermakna buat hidup saya kerana berjaya membuktikan bahawa Orang Asli juga berpeluang memperoleh keputusan cemerlang,” katanya lagi.

Selain Farah, seorang lagi anak Orang Asli, Najurai Agus dari SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah di Perak turut diumumkan untuk menerima penghargaan kategori sama.

Bagi Najurai yang juga anak pasangan pembantu pejabat dan suri rumah sepenuh masa ini, sentiasa fokus dalam kelas dan tidak kedekut berkongsi ilmu adalah antara rahsia kejayaannya.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, faktor kesempitan hidup membuatkan beliau berazam menjadi seorang yang berjaya bagi mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.

Mereka ditemui pada sidang media Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi mengumumkan pencapaian calon STPM 2014.

Pengerusi MPM, Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata, keputusan 2014 lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Kali pertama MPM memilih dua pelajar Orang Asli untuk menerima penghargaan dan anugerah apabila mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM 2014,” katanya. 
Orang Asli, STPM, Farah Syahera Chin

Artikel Berikut

Artikel Lain