suria

Bincang Dengan MPKB Isu Tutup Kedai Ketika Solat Jumaat - Mohd Amar

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau tidak pasti mengenai tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang mengeluarkan arahan supaya perniagaan ditutup selama dua jam pada setiap hari Jumaat.

Beliau berkata, mereka yang membantah perkara itu perlu mengadakan perbincangan dengan pihak Majlis.

"Terus terang saya katakan, saya tidak pasti apa yang sebenar diarahkan...sama ada ia melibatkan entiti perniagaan tertentu yang mempunyai pekerja Islam bagi membolehkan mereka menunaikan sembahyang Jumaat, atau semua premis perniagaan.

"Adalah lebih baik mereka (yang membantah) menyelesaikannya dengan MPKB," katanya ketika ditanya mengenai keresahan di kalangan ahli perniagaan bukan Islam yang mempersoalkan mengapa mereka perlu menutup perniagaan dari pukul 12.30 tengahari -2.30 petang walaupun tidak menggaji pekerja beragama Islam.

Setiausaha Majlis Rosnazli Amin, dalam notis bertarikh 14 Januari, mengarahkan semua entiti perniagaan di bandar itu ditutup selama dua jam atau berdepan dengan tindakan, termasuklah lesen perniagaan mereka tidak akan diperbaharui.

Notis itu menimbulkan kekecohan di kalangan beberapa pihak termasuk ahli perniagaan bukan Islam dan MCA Kelantan.

Timbalan Pengerusi MCA Kelantan Tan Ken Ten berkata majlis perbandaran harus fleksibel dan tidak memasukkan restoran tidak halal dalam perintah terbaharu yang dikeluarkannya, dan juga perniagaan lain yang tidak mempunyai pekerja Islam. 

Beliau berkata peraturan itu juga akan memberi kesan kepada industri pelancongan.

Artikel Lain