suria

Kelayakan MP Anwar Hilang Selepas 14 Hari Dari Tarikh Dihukum

Pandikar Amin Mulia.

PETALING JAYA: Kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh hilang apabila tamat tempoh 14 hari dari tarikh disabitkan dan dihukum, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata, tempoh berkuatkuasanya status hilang kelayakan itu selaras perenggan (a) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat mengambil maklum akan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang mengekalkan hukuman pemenjaraan selama lima tahun sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan terhadap YB (Yang Berhormat) Permatang Pauh atas kesalahan jenayah meliwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"Merujuk kepada penghakiman tersebut, kehilangan kelayakan YB Permatang Pauh sebagai Ahli Parlimen hendaklah dibuat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Bagaimanapun, katanya, jika Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuat kuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Pandikar Amin berkata, beliau hanya dapat mengemukakan pemberitahuan mengenai kekosongan kerusi parlimen itu sebaik sahaja kehilangan kelayakan Anwar sebagai Anggota Parlimen mula berkuat kuasa mengikut Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun. 

Keputusan itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim.

Ketua Pembangkang itu kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Artikel Lain