suria

Polis Bertindak Profesional Kawal 'Perhimpunan Untuk Anwar' - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA: Polis sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab secara profesional ketika berdepan dengan program atau perhimpunan yang mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan terus melaksanakan tugas terutama selepas mendapat maklumat bahawa beberapa perhimpunan telah dan akan diadakan penyokong Anwar dalam masa terdekat.

"Kita dapat tahu beberapa perhimpunan sedang dirancang, termasuk penyokong berkumpul sambil memasang lilin di hadapan Penjara Sungai Buloh.

"Polis bertindak secara profesional dalam perkara ini. Kita tahu mereka memang tak berhajat melakukan kekecohan, tapi mahu tunjukkan keprihatinan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, Khamis.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas tindakan penyokong Anwar yang berhimpun di hadapan penjara Sungai Buloh sambil memasang lilin, malam Rabu.

Mengulas lanjut perkara tersebut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, seramai kira-kira 250 penyokong terlibat dalam perhimpunan pada malam Rabu.

"Tanggungjawab polis adalah memastikan bahawa apa juga perhimpunan seumpama ini berjalan dengan lancar, tanpa gangguan.

"Kita lihat semalam (perhimpunan) berjalan lancar dan pihak polis seperti biasa memastikan tidak ada sebarang gangguan atau apa-apa yang menyalahi undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang ketika berhimpun atau berarak.

Katanya, ini kerana tugas mengawal dan menjaga ketenteraman awam adalah tanggungjawab polis.

Berdasarkan maklumat, beliau berkata, kemungkinan satu perhimpunan akan diadakan di hadapan kompleks beli-belah Sogo atau Dataran Merdeka pada hujung minggu ini.


Artikel Berikut

Artikel Lain