suria

Kelar Penuntut Uitm: Suspek Disambung Reman

IPOH: Tempoh tahanan reman seorang lelaki yang mengelar leher penuntut perempuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang pada 2 Feb lepas, disambung tujuh hari lagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintenden Ismail Che Isa berkata Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Taiping N. Mageswari membenarkan suspek berusia 25 tahun itu direman sehingga 16 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Masih ada lagi rakaman percakapan saksi yang belum diambil dan kita akan memeriksa bil telefon suspek untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya pada Isnin.

Dalam kejadian pada kira-kira 12 tengah hari, mangsa Nursyuhada Johari, 20, bersama suspek menaiki kereta Proton Perdana menghala arah selatan.

Mereka dikatakan bertengkar di dalam kenderaan sebelum kereta itu berhenti dan mangsa kemudian keluar dari tempat duduk pemandu sebelum terjatuh di atas jalan.

Suspek kemudian keluar dan cuba menarik mangsa ke kiri jalan namun melarikan diri ke hutan berhampiran selepas menyedari kehadiran orang ramai di tempat kejadian.

Bagaimanapun, suspek kembali ke tempat kejadian untuk mengambil telefon bimbit di tempat kejadian dan kehadirannya disedari orang ramai yang kemudian bertindak menangkap suspek dan menyerahkannya kepada polis.

Nursyuhada disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar pada kira-kira 2 petang.

Bukit Gantang, Uitm, Kelar

Artikel Lain