suria

Pelancong, Pelajar Malaysia Di India Dinasihat Daftar Dengan Suruhanjaya Tinggi

Naimun Ashakli Mohammad

NEW DELHI: Pelajar Malaysia dan mereka yang bekerja di India diminta untuk sentiasa berhubung dengan pegawai Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) di sini supaya mereka mudah dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

Sambil menekankan bahawa keselamatan mereka adalah penting, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India, Datuk Naimun Ashakli Mohammad menggesa rakyat Malaysia supaya mendaftar di pejabatnya di Delhi atau pejabat Konsulat Jeneral di Chennai atau Mumbai.

Mereka yang berkunjung ke tempat yang jauh seperti Jammu dan Kashmir atau destinasi pelancongan lain yang terpencil juga dinasihatkan untuk berkomunikasi dengan para pegawai di sini, katanya.

"Secara umum, rakyat Malaysia mengambil ringan tentang perkara ini dan hanya ke pejabat kami apabila menghadapi kesukaran atau kecemasan.

"Di sini, kami bukannya tidak menggalakkan mereka untuk berkunjung ke mana sahaja yang mereka mahu di India, tetapi maklumkan kepada kami sebaik sahaja mereka tiba di sini."Sekiranya mereka melapor diri kepada kami sama ada menerusi telefon atau secara dalam talian, kami lebih bersedia untuk menasihatkan mereka tentang kawasan sensitif keselamatan atau cenderung kepada bencana alam," katanya kepada Bernama dalam temu bual di Delhi.

Memetik kejadian bagaimana sekumpulan pelajar Malaysia terkandas di Jammu dan Kashmir ketika banjir besar tahun lepas, Naimun berkata seperti Suruhanjaya Tinggi yang lain, beliau dan pegawainya turut membantu rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan dengan apa jua cara yang mungkin.

Pada September lepas, sebanyak 29 pelajar perubatan Malaysia yang melanjutkan pengajian di selatan India terkandas dalam banjir besar di utara negeri.

Pegawai kanan diplomat itu menegaskan ia tidak patut dilihat sebagai cubaan untuk mengganggu rancangan lawatan mereka, tetapi, sebagai usaha untuk menghulurkan bantuan bila keadaan memerlukan.

Beliau berkata walaupun ia bukanlah satu keperluan berkanun untuk melapor, komunikasi dua hala akan membantu para pegawai di New Delhi untuk menggerakkan operasi menyelamat atau memberi bantuan segera menerusi penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan.

Bagi pelajar Malaysia di India, Naimun menasihatkan agar mereka memaklumkan kepada penaja sekiranya ingin melakukan perjalanan luar daripada kampus atau kawasan tempat mereka tinggal.

"Dalam sesetengah kes melibatkan pelajar, bukan sahaja kami tetapi penaja mereka juga perlu mengetahui pergerakan mereka," katanya.

Pelajar yang mengembara melalui jalan darat dinasihatkan melakukannya secara berkumpulan serta membawa dokumen yang sah.

Naimun berkata pelajar Malaysia juga perlu memahami adat resam dan budaya masyarakat tempatan yang berbeza di setiap negeri.

"Melainkan mereka melaporkan kepada kami. Kami tidak dapat memberi nasihat  sewajarnya kepada mereka mengenai isu keselamatan, apa yang boleh dan tidak boleh dibuat sekiranya mereka ingin mengembara ke kawasan berdekatan dengan zon konflik," katanya.

Sehingga kini, terdapat hampir 5,000 pelajar Malaysia di India dengan hampir 3,700 orang daripadanya berada di Karnataka.

Bangunan baharu Suruhanjaya Tinggi di Chanakyapuri di sini sedang diubah suai dan kini beroperasi secara sementara di Hotel Taj di ibu negara.

Pegawai suruhanjaya boleh dihubungi di +91 26111291/92 atau [email protected] manakala pejabat Konsulat Jeneral di Mumbai boleh dihubungi menerusi 91-22- 26455751/52 atau e-mel [email protected] dan pejabat di Chennai pula menerusi nombor +91-44-24334435/36 ata e-mel [email protected].

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain