suria

Kesilapan Ucapan Thaipusam Jadi Pengajaran - Kamalanathan

P. Kamalanathan.

PETALING JAYA: Kesilapan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) membuat ucapan Thaipusam di laman rasmi Facebooknya baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua dalam mengeluarkan kenyataan khususnya mengenai bangsa dan agama, kata P. Kamalanathan.

Kesilapan tersebut berlaku apabila suruhanjaya itu baru-baru ini tersilap membuat ucapan Thaipusam yang sepatutnya disambut oleh penganut agama Hindu telah ditujukan kepada penganut Buddha: “Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, SPP mengucapkan Selamat Menyambut Thaipusam kepada penganut agama Buddha.”

Bagaimanapun SPP pada Sabtu lalu telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf di atas kesilapan berkenaan.

(Gambar atas) Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran membuat kesilapan dalam ucapan Thaipusam, manakala (gambar bawah) merupakan permohonan maaf yang dibuat di atas kesilapan yang berlaku.

Kamalanathan yang merupakan Timbalan Menteri Pendidikan II dan juga anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkata, isu tersebut dianggap selesai selepas suruhanjaya itu membuat permohonan maaf kepada umum.

"Namun kejadian sebegini boleh menjadi pengajaran supaya lebih berhati-hati apabila membuat komen khususnya tentang agama dan bangsa.

“Selain itu, rakyat Malaysia umumnya boleh mengambil pengajaran dan ikhtibar untuk lebih saling-mengenali dan memahami pelbagai perayaan yang disambut oleh masyarakat majmuk di negara kita,” katanya kepada mStar Online menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada malam Isnin.

SPP dalam permohonan maafnya di Facebook berkata: “Pihak SPP memohon maaf di atas kesilapan pada posting terdahulu. Terima kasih di atas keprihatinan anda semua."

Ucapan Thaipusam di Facebook SPP digantikan dengan “Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam.”

Artikel Berikut

Artikel Lain