suria

Boikot Peniaga: Polis Akan Panggil Menteri Beri Kenyataan - KPN

PETALING JAYA: Polis akan memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi merakamkan kenyataannya berhubung dakwaan meminta supaya pengguna memboikot perniagaan kaum Cina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi tulisan di akaun Twitternya @KBAB51 pada Isnin berkata: @PDRMsia akan panggil Menteri Pertanian (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) untuk kita rakam percakapannya dalam Isu ini. PDRM akan memastikan keharmoniam kaum dihormati."

Ismail Sabri didakwa mengeluarkan kenyataan pada Ahad menyarankan pengguna supaya menggunakan kuasa sebagai pembeli untuk memboikot perniagaan kaum Cina yang enggan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan, walaupun harga minyak di pasaran semakin rendah.

Paparan skrin status yang dimuat naik di Facebook milik Ismail Sabri/

Sambil menyifatkan masyarakat Melayu sebagai pengguna majoriti, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berpendapat, kuasa yang ada itu seharusnya digunakan untuk memberi tekanan kepada peniaga Cina terbabit.

"Maaf saya beri pandangan, selain daripada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan) yang patut gunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan untuk ambil tindakan kepada peniaga yang naikkan harga tanpa sebab munasabah...kuasa yang terbesar ada pada pengguna.

"Majoriti pengguna adalah Melayu...Cina adalah minoriti. Kalau Melayu boikot perniagaan mereka, mereka tentu tiada pilihan untuk turunkan harga," katanya menerusi posting di laman Facebook yang dimuat naik pada Ahad.

Saranan itu dilihat berkaitan dengan pengumuman harga baharu petrol RON95 yang kini RM1.70 seliter iaitu penurunan sebanyak 21 sen, manakala RON97 berharga RM2 seliter selepas berlakunya penurunan sebanyak 11 sen.


Artikel Lain