suria

Pendidikan Seks: Remaja Wanita Juga Perlu Diajar

KUALA LUMPUR: Pendidikan seks kepada remaja golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas yang akan dilaksanakan tahun depan juga perlu dilakukan terhadap remaja wanita, demikian pandangan beberapa pemimpin persatuan berkaitan pendidikan dan keibubapaan.

Selain menyambut baik cadangan berkenaan, kaedah pelaksanaan pendidikan itu juga perlu diteliti secara mendalam agar ia difahami dengan cara terbaik oleh pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata remaja wanita juga perlu diberi pengetahun seks sama seperti remaja lelaki supaya kedua-dua pihak memahami tentang perkara tersebut.

"Bertepuk sebelah tangan kata orang takkan berbunyi, jadi dalam hal ini kedua-dua pihak...baik lelaki atau wanita harus mengetahui mengenai pendidikan seks ini.

"Kita percaya dengan mengajar mengenai pendidikan seks melalui sekolah, ia diajar secara betul berbanding remaja mengetahuinya melalui internet seperti sekarang," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Isnin.

Hashim berkata, pendidikan seks boleh diajar dalam beberapa subjek termasuk sains, pendidikan Islam dan moral.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebelum ini, berkata pendidikan seks kepada remaja golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas, akan dilaksanakan tahun depan.

Rohani dilapor berkata modul itu menyasarkan remaja lelaki bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual serta dapat membendung masalah sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pihak sekolah perlu menyediakan cara pelaksanaan yang paling sesuai agar pendidikan seks dapat disampaikan secara berkesan kepada remaja.

"Cara pengajarannya perlu diteliti secara mendalam agar ia berkesan dan akan menjadi salah satu cara untuk mengurangkan gejala sosial akibat cara pembelajaran tidak formal melalui medium teknologi maklumat.

"Pendidikan seks tidak dinafi adalah cara terbaik untuk mengekang seks bebas dan kelahiran tanpa dirancang dalam kalangan remaja jika caranya sesuai," katanya.

Selain itu, beliau berkata ibu bapa juga perlu lebih terbuka bercerita kepada anak-anak remaja mengenai pendidikan seks apabila pelaksanaan pendidikan tersebut berlaku, kelak.

"Pasti akan ada persoalan tambahan, jadi ibu bapa perlu bersedia memberitahu dengan cara terbaik, jangan harapkan pihak sekolah sahaja," katanya.

Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Ismail Mina pula berpendapat soal pendidikan seks sememangnya ditekankan dalam Islam khususnya apabila seseorang remaja itu mencapai usia baligh.

"Dalam fikah jug diajar tentang batas pergaulan antara lelaki dan wanita, soal mahram, hukum bersuci dan pengetahuan seks secara am," katanya.

Ismail berharap melalui pelaksanaan pendidikan seks itu dapat membantu meningkatkan pengetahuan mengenai hubungan seks serta aspek kesihatan dalam kalangan remaja.

Artikel Lain