suria

Pilihan Raya PBT: Nik Abduh Sokong Hadi

Nik Abduh Nik Aziz

PETALING JAYA: Seorang lagi pemimpin PAS menyatakan pandangannya berhubung pertikaian berterusan di antara PAS-DAP mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz mempertahankan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak pilihan raya PBT yang diperjuangkan oleh sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat, DAP.

"PAS sejak lama menolak pilihan raya PBT. Ia bukan pendirian peribadi presiden PAS. Jika ada yang menganggapnya sebagai pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti, maka ia adalah salah dan amat malang jika ia tidak difahami oleh pemimpin PAS sendiri," kata beliau dalam satu kenyataan, Ahad.

Beliau mengulas usaha untuk meredakan ketegangan di antara kedua-dua parti, di mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berkata bahawa kenyataan Abdul Hadi adalah pendapat peribadi dan perkara itu perlu dibincangkan untuk mendapatkan kata putus.

Pertikaian wujud selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan bahawa PAS tidak pernah membangkitkan rancangannya tentang hudud di majlis kepimpinan Pakatan Rakyat manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa DAP tidak pernah membincangkan cadangan untuk memperkenalkan pilihan raya PBT.

Pertelingkahan di antara DAP dan PAS tercetus apabila Guan Eng dilaporkan berkata bahawa beliau telah memanggil Abdul Hadi dan Mustafa sebelum Pulau Pinang mendesak supaya pilihan raya PBT diadakan.

Beliau juga berkata PAS bersetuju dengan cadangan itu kerana ia tidak membantah secara terbuka.

Menafikan perakara ini, Mustafa berkata PAS hanya dirujuk selepas enakmen itu dibentangkan melalui panggilan telefon daripada Guan Eng.

Mustafa juga mencabar Guan Eng untuk berdebat dan kemudian menuntut permohonan maaf daripada Guan Eng kerana menggelarnya sebagai seorang 'pembohong'.

Nik Abduh, yang merupakan anak kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, menegaskan bahawa demokrasi tidak boleh ditafsirkan sebagai jalan menuju keadilan melalui pilihan raya semata-mata atau menganggap ketidakadilan hanya boleh dihapuskan melalui pilihan raya semata-mata.

"PAS memahami demokrasi dalam kerangka pandangan Islam yang lebih adil. Ia mensasar mencapai keadilan, bukan merajakan jalan-jalan menuju keadilan yang boleh berubah-berubah dan diikat dengan syarat dan kesesuaian," katanya.

Nik Abduh berkata, negara barat adalah negara yang mempromosikan demokrasi berpilihan raya dan negara itulah juga yang mempertegaskan hak veto untuk mereka sendiri di PBB yang mematikan hak majoriti dalam memutuskan keputusan.

Di Butterworth, Guan Eng terus berdiam diri mengenai cabaran Mustafa untuk berdebat mengenai pilihan raya PBT.


Artikel Lain