suria

Alwi Ibrahim Dilantik Ketua Setiausaha KDN

Ali Hamsa menyampaikan surat pelantikan kepada Alwi sebagai Ketua Setiausaha KDN yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff di Pejabat KSN di sini, Sabtu.

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim dilantik sebagai Ketua Setiausaha yang baharu bagi kementerian itu berkuat kuasa Isnin ini, menggantikan Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataannya Sabtu berkata pelantikan Alwi, 55, adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa perkhidmatan awam melalui pelan transformasi.

"Saya berkeyakinan bahawa kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki oleh Alwi akan membolehkan beliau memimpin dan meneruskan kecemerlangan kementerian sebagai peneraju serta pentadbir urus keselamatan bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat," kata Ali.

Alwi yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Polisi Awam dari University of Wisconsin, Amerika Syarikat serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari Universiti Malaya, berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 31 tahun sejak menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang keselamatan, pengurusan awam serta pembangunan sosial dan ekonomi melalui perkhidmatannya termasuk sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor serta Setiausaha Bahagian Program dan Projek Pembangunan.




Artikel Berikut

Artikel Lain