suria

MyEG: Imigresen Atur Pertemuan Bersama Persatuan & Wakil Majikan

PETALING JAYA: Pertemuan bersama persatuan dan wakil majikan akan diadakan tidak lama lagi bagi meleraikan pelbagai persoalan yang timbul berikutan pelaksanaan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG).

Ia diputuskan sebulat suara selepas mesyuarat sektor operasi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa yang turut diwakili Jabatan Imigresen.  

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata, pertemuan itu akan diadakan di antara jabatannya, KDN serta MyEG bersama persatuan dan wakil majikan.

Tarikh pertemuan itu akan ditentukan selepas kesemua pihak dapat menetapkan masa yang sesuai.

Katanya, ia bertujuan untuk memberi penerangan dan mempromosikan kaedah baharu permohonan PLKS melalui MyEG.

“Pertemuan dan perbincangan bersama persatuan dan wakil majikan ini untuk memberi penerangan mengenai kelebihan dan kebaikan kaedah baharu berbanding kelemahan menggunakan kaedah yang lama.

“Diharapkan dengan penerangan itu nanti majikan akan lebih faham kenapa kita melaksanakan sistem dalam talian ini kerana sebenarnya banyak kebaikan jangka panjang untuk mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Pengenalan kaedah pembaharuan PLKS melalui MyEG menimbulkan rasa tidak puas hati majikan apabila pengumuman itu dikatakan 'secara mengejut' dan terpaksa untuk membayar RM38 bagi setiap permohonan berbanding di kaunter pejabat imigresen yang dibuat secara percuma.

Sakib berkata, pihaknya sudah bersedia dengan maklumat-maklumat meliputi fakta dan contoh untuk memberi penerangan kepada wakil majikan.

Bagaimanapun tarikh pertemuan itu belum ditetapkan termasuk menentukan sama ada ia diadakan secara berkumpulan atau berasingan.

“Kita akan adakannya tidak lama lagi. Kita menjangkakan sekurang-kurangnya dimulakan sebelum tamat tempoh POC (peringkat pembuktian konsep) bagi kaedah baharu ini. Apapun kita sudah bersedia untuk melakukannya kerana kita perlu berikan penjelasan.

"Antara wakil majikan yang akan kita panggil adalah seperti MEF (Persekutuan Majikan Malaysia), Papa (Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia), Pikap (Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia) dan Mama (Persatuan Majikan Amah Malaysia) selain wakil majikan daripada syarikat-syarikat besar yang banyak menggaji pekerja asing,” katanya sambil menambah bahawa tempoh POC adalah selama tiga bulan sejak ia mula diperkenalkan.

Tambahnya, pada masa sama, pertemuan itu turut memberi peluang kepada persatuan dan wakil majikan untuk memberikan pandangan dan cadangan mereka berhubung pelaksanaan baharu melalui sistem MyEG.

"Kita akan mendengar pandangan mereka dan kemudian menelitinya sebelum merumuskan apakah penyelesaian paling baik," kata Sakib. 

Artikel Lain