suria

Subramaniam Tidak Pernah Bertemu Palanivel Bincang Krisis MIC

S.Subramaniam.
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam menegaskan beliau tidak pernah bertemu Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel untuk membincangkan krisis MIC secara terperinci.

Beliau berkata banyak percubaan beliau untuk bertemu presiden MIC itu gagal "kecuali pertemuan singkat kami pada mesyuarat Kabinet".

"(Bagaimanapun) Terdapat laporan dalam akhbar tentang perbualan khayalan antara presiden parti dan saya yang ditulis oleh beberapa wartawan yang sangat imaginatif," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Dr Subramaniam berkata pada 7 Januari, beliau ada meminta untuk bertemu Palanivel, yang dipersetujui presiden parti selepas mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun perjumpaan itu tidak menjadi kenyataan. 

"Kemudian, kami bertemu pada mesyuarat Kabinet dan kami bertukar-tukar kenyataan dan sekali lagi, saya mengulangi tentang keperluan untuk mencari penyelesaian holistik kepada masalah ini dan kesediaan saya untuk bekerjasama menyelesaikan masalah ini, sejajar dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya. 

Pada mesyuarat Kabinet itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata Palanivel hanya memberi perhatian untuk mengadakan dua pemilihan, satu pada 2015 dan satu lagi pada 2016, tetapi tidak berkongsi pandangan beliau tentang bagaimana untuk mengatasi masalah itu. 

Pada 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

ROS juga meminta parti itu mengadakan pemilihan semula di lapan bahagian iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin dalam tempoh 60 hari.

ROS juga mengarahkan supaya pemilihan semula diadakan dalam tempoh 30 hari bagi jawatan timbalan pengerusi Batu Kawan, pengerusi bahagian Kota Raja, pengerusi bahagian Tanjung Malim dan pengerusi cawangan Taman Koperasi Polis.

Dua cawangan iaitu Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan, juga diarah untuk mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari.

ROS juga menasihatkan MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan sehingga isu itu diselesaikan.


MIC, S. Subramaniam, G.Palanivel

Artikel Lain