suria

Semua Sampel Epal Akan Dikaji Kesan Bakteria Listeriosis

Dua jenis epal iaitu 'Gala' dan 'Granny Smith' dari Amerika Syarikat yang disyaki tercemar dengan bakteria tersebut disekat daripada memasuki negara ini.
KUANTAN: Kementerian Kesihatan mengarahkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian itu untuk membuat pemeriksaan dan mengambil sampel semua buah epal yang diimport bagi menjalankan ujian mengesan bakteria Listeriosis.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ujian tersebut dijalankan bagi memastikan bakteria itu tidak menular di negara ini.

"Saya telah arahkan bahagian tersebut untuk buat pemeriksaan dan mengambil sampel buah epal terutamanya di kawasan Sibu dan Kuching di Sarawak.

"Keputusan ujian akan dapat dalam tempoh dua hingga tiga hari. Namun proses ini akan dilaksanakan secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir di sini, Ahad.

Laporan media pada Ahad menyatakan mengenai dua jenis epal iaitu 'Gala' dan 'Granny Smith' dari Amerika Syarikat (AS) yang disyaki tercemar dengan bakteria tersebut disekat daripada memasuki negara ini.

Dr Subramaniam berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai jangkitan bakteria itu dalam kalangan rakyat negara ini.

"Kita juga masih menunggu maklumat mengenai ketibaan kontena dan kapal yang membawa epal ini dari AS ke Malaysia.

"Apabila kontena itu sampai nanti, baru kita boleh dapat tahu sama ada buah epal berkenaan berisiko tinggi membawa bakteria itu," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak risau mengenai bakteria tersebut kerana pihaknya akan memantau perkara ini setiap masa.

Artikel Lain