suria

Najib Garis 6 Perkara Pacu Ekonomi

Najib ketika menyampaikan amanat kepada warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Perhimpunan Bulanan JPM di Dataran Perdana di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. Turut sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin menggariskan enam perkara utama untuk memacu ekonomi negara dan melindungi kesejahteraan rakyat serta komuniti.

Beliau berkata antara perkara yang menjadi keutamaan ialah perlunya melakukan perubahan serta intervensi susulan kelembapan ekonomi dunia, yang antara lain disebabkan kejatuhan harga minyak mentah global.

Sehubungan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan akan mengumumkan pengubahsuaian serta intervensi tersebut, esok (Selasa).

Mengenai perkara kedua, Najib berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini dijangka dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk melakukan perubahan fiskal dan menyepadukan ekonomi supaya negara mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan berdaya tahan.

Najib berkata pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang dijadual pada Mei ini perlu memasukkan semua perkara yang dapat memacu Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Dalam pada itu Najib mahu usaha membina dan membaik pulih rumah penduduk yang terjejas banjir dilakukan secepat mungkin agar penderitaan mereka dapat dikurangkan.

Menyentuh perkara kelima mengenai ancaman keselamatan, perdana menteri menegaskan pihak tertentu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memberi penjelasan sebenar jihad bagi mengelak kekeliruan, seterusnya mencegah rakyat daripada menyertai kumpulan militan seperti Islamic State (IS).

"Kita mesti terangkan supaya tiada pihak yang salah anggap dan salah faham tentang apa yang patut mereka lakukan sebagai seorang Islam," katanya.

Beliau berkata satu rang undang-undang bagi mencegah keganasan akan dibentangkan pada Mac ini.

Menyentuh perkara keenam mengenai Asean, Najib juga menyatakan Malaysia akan dipromosikan serta ditonjolkan secara lebih menyeluruh pada tahun ini selari dengan pemilihan Kuala Lumpur sebagai Pengerusi Asean.

"Paling bersejarah, sebagai tuan rumah Asean kita akan umum Komuniti Asean tahun ini. Segala yang dibuat mestilah meletakkan imej Malaysia sebagai negara terbaik," katanya.

Najib turut menyuarakan harapan agar tahun 2015 dapat memperkukuh silaturahim dan rakyat dapat bertindak dalam semangat kebersamaan dengan cara terselaras untuk menghadapi sebarang ujian yang akan datang.

Najib Tun Razak, RMK-11, GST

Artikel Lain